Dewasa ini orang memperkatakan mengenai fitnah. Ia bagaikan satu wabak yang melanda kita dan perlu dibasmi dengan segera tanpa belas kasihan.Di dalam Islam, fitnah bermaksud suatu berita palsu mengenai seseorang yang disampaikan oleh invidividu tertentu atas tujuan menimbulkan permusuhan dan kebencian orang ramai terhadapnya. Allah telah menyatakan di dalam al-Quran yang berbunyi: “Fitnah itu lebih dahsyat dari dosa membunuh manusia.” Sejarah fitnah sudah bermula sejak nabi Adam a.s. lagi ketika Iblis dihalau dari syurga kerana enggan menghormati nabi Adam a.s.
Iblis menyimpan dendam untuk memusnahkan Adam a.s. dan Hawa serta keturunannya dari menikmati kenikmatan syurga yang satu ketika menjadi miliknya. Akhirnya Iblis telah menaburkan fitnah kepada Adam a.s. dan Hawa terhadap Allah s.w.t.
Iblis mendakwa Allah s.w.t sengaja tidak mahu Adam a.s. dan isterinya Hawa hidup selama-lamanya di dalam syurga. Oleh sebab itu Allah s.w.t melarang Adam a.s dan Hawa memakan buah khuldi yang bermaksud (kekal selama-lamanya). Akhirnya Adam a.s. dan Hawa termakan fitnah Iblis lalu melanggar larangan Allah s.w.t. Maka keduanya menerima nasib yang sama seperti Iblis terhumban ke dunia.
Budaya fitnah ini tidak terhenti begitu sahaja malah akan berterusan sehingga kiamat. Jika Iblis sanggup mefitnah Allah s.w.t di hadapan Adam a.s. maka tidak pelik jika isteri Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Aisyah juga telah difitnah melalui lidah seorang munafik bernama Abdullah bin Salul. Abdullah bin Salul telah menfitnah Aisyah r.h. dengan menuduhnya melakukan perbuatan curang dengan salah seorang sahabat baginda s.a.w. Berita fitnah ini telah sampai ke pengetahuan nabi s.a.w. Sebagai seorang manusia yang dipilih menjadi rasul sedikit sebanyak termakan juga berita palsu yang disebarkan itu.
Rasulullah s.a.w. tidak menegur Aisyah selama sebulan. Akhirnya Aisyah mengambil keputusan untuk kembali ke pangkuan bapanya Abu Bakar al-Siddik r.a. Bapanya juga telah menyalahkan Aisyah di atas perbuatan tersebut. Namun Aisyah tetap mempertahankan kebenarannya sebagai seorang isteri nabi yang terakhir.Asiyah r.h. bermunajat dan bermohon kepada Allah s.w.t agar menyingkap kebenaran yang terselindung selama ini.Permintaan Aisyah dikabulkan oleh Allah s.w.t. dengan menurunkan wahyu kepada nabi s.a.w. bagi membersihkan Aisyah dari fitnah terserbut.Lihatlah bagaimana Iblis dan koncunya menggunakan senjata fitnah untuk memusnahkan persaudaraan Islam yang ditekan oleh Rasulullah s.a.w.
Di dalam sebuah hadis Abdullah bin Amru al-As menceritakan bahawa terdapat seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w, apakah ajaran Islam yang baik? Baginda s.a.w. bersabda: “Hendaklah kamu menjamu orang dengan makanan dan memberi salam kepada orang Islam yang kamu kenal dan kepada mereka yang kamu tidak kenal.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Di dalam hadis ini jelas bagaimana Islam inginkan umatnya hidup dalam suasana muhibah walaupun di antara mereka tidak mengenali antara satu dengan yang lain. Apatah lagi bagi sahabat yang telah lama bergaul maka ia lebih dituntut.
Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah s.a.w. ada bersabda lebih kurang berbunyi: “Janganlah kamu membenci saudaramu dengan sepenuh hati kerana kemungkinan satu hari kamu akan memerlukannya. Dan janganlah kamu menyayangi saudaramu dengan sepenuh hati kerana kemungkinan satu hari kamu akan bermusuh denganya.” Orang Islam digalakkan berkasih sayang dan tolong menolong antara satu sama lain kerana pertolongan Allah mengiringinya.
Sabda Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa yang menunaikan hajat saudaranya, dia akan mendapat kebaikan lebih baik dari orang beriktikaf untuk beribadat di masjid selama sepuluh tahun. Bagi mereka yang beriktikaf di masjid satu hari kerana mengharapkan keredhaan Allah, dijauhkan oleh Allah dari neraka seluas tiga parit, keluasan satu parit menyamai keluasan antara langit dan bumi. Memandangkan menolong orang lain besar pahalanya sewajarlah umat Islam menolong saudaranya dalam perkara yang berfaedah di samping itu mereka hormat menghormati serta memberi salam.”
Di dalam satu riwayat ada mengkhabarkan mengenai seorang lelaki yang sangat kuat beribadah. Sayangnya dia suka membuat orang lain berputus asa terhadap kasih sayang Allah. Hal ini dilakukan sehingga beliau menemui ajalnya. Setelah meninggal dunia dia cuba menuntut ganjaran dari Allah atas kekhusyukan ibadahnya di dunia. Dia berkata: “Tuhanku, apakah bahagianku di sisiMu?” Jawab Allah s.w.t: “Neraka.” Beliau terus bertanya: “Tuhan, di mana balasanMu terhadap segala ibadah yang kulakukan sewaktu di dunia?” “Tiada ganjaran kebaikan untukmu. Sesungguhnya di dunia engkau selalu membuat hamba-hambaKu berputusa asa terhadap kasih sayangKu. Maka hari ini Aku juga membuat engkau putus asa dengan kasih sayangKu.” Jawab Allah s.w.t. Oleh itu janganlah kita mencari sedikit keuntungan dengan menjual seluruh kebaikan yang dikhususkan untuk kita di akhirat. Hindarilah budaya fitnah kerana ia tidak menguntungkan sesiapa malah merugikan umat Islam keseluruhannya.
No comments:
Post a Comment