1. Allah swt menjadikan umat manusia di atas asas saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Tidak ada seorang pun boleh hidup bersendirian tanpa bantuan dari orang lain. Ada orang yang mempunyai setengah alat-alat kemudahan sedangkan orang lain tidak ada, ada setengah orang yang mempunyai bahan makanan sedangkan setengahnya tidak mempunyainya.
Ada orang yang mempunyai kemahiran tetapi tidak ada modal, begitulah sebaliknya. Demikianlah sistem kehidupan atau sunnah Allah di dunia ini.
Ada orang yang mempunyai kemahiran tetapi tidak ada modal, begitulah sebaliknya. Demikianlah sistem kehidupan atau sunnah Allah di dunia ini.
2. Oleh yang demikian Allah swt telah memberikan ilham kepada manusia agar bergaul dan saling bertukar ganti sama ada benda-benda, pinjam-meminjam, upah mengupah, sewa-menyewa, gadai-mengadai dan berbagai cara lagi yang dilakukan di dalam kehidupan seharian mereka.
3. Tujuannya adalah semata-mata untuk memperkemaskan dan melicinkan urusan kehidupan mereka yang mana dengan cara itu dapat menghindarkan segala kesulitan-kesulitan yang timbul di dalam kehidupan manusia dari masa ke semasa.
4. Oleh kerana Allah swt hendak memajukan kehidupan manusia menurut ertikata yang sebenar, maka Allah telah menetapkan beberapa dasar supaya menjadi panduan dan bimbingan kepada umat manusia. Dengan dasar-dasar itu dapatlah manusia memproseskan cara hidup mereka menurut lunas-lunas yang baik agar mereka dapat melaksanakan corak kehidupan dan aliran tamadun yang diredhai Allah dan RasulNya.
5. Ketika Rasulullah saw diutuskan ke dunia, memang masyarakatArab telah menjalankan berbagai cara kira bicara atau urusan hidup, lalu Baginda mengakui setengah cara-cara mereka yang baik dan yang tidak bertentangan dengan lunas-lunas Islam dan sebaliknya membatalkan setengah cara mereka itu. Oleh kerana tidak menepati dengan kehendak Allah mengikut lunas-lunas yang murni.
6. Maka yang dimaksudkan dengan muamalat atau kira bicara Islam ialah merangkumi tukar-menukar antara barang atau suatu yang memberi manfaat dengan cara yang ditentukan seperti jual beli, sewa menyewa, upah mengupah, pinjam meminjam, urusan bercucuk tanam, berkongsi dan sebagainya.
JUAL BELI
7. Takrifnya:
Tukar menukar suatu barang dengan barang atau wang mengikut cara yang ditentu (akad). Ianya juga dapat disebut dengan pertukaran harta dengan harta.
Firman Allah:
Maksudnya: “Allah sudah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”
(Al Baqarah: 275)
Begitu juga dengan firman Allah:
Maksudnya: “ Janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang batil melainkan dengan jalan jual beli yang berdasarkan suka sama suka”.
(An Nisa’: 29)
AKAD JUAL BELI TERBAHAGI KEPADA DUA BAHAGIAN
8. Yang dimaksudkan dengan harta atau mal ialah jual beli yang sah akadnya iaitu yang sempurna rukun, syarat dan tidak berlaku perkara yang ditegah oleh syarak berkaitan dengan akad. Jual beli yang tidak sah akadnya iaitu yang kurang rukun atau syarat, atau terdapat perkara yang ditegah oleh syarak dalam hal-hal yang ada hubung kaitnya dengan akad.
RUKUN-RUKUN JUAL BELI
9. Rukun-rukun jual beli adalah seperti berikut:
a. Penjual
b. Pembeli
c. Barang yang dijual
d. Harga
e. Sighah (lafaz Ijab/Qabul)
HUKUM JUAL BELI
10. Hukum jual beli adalah halal dalam Islam sekiranya sempurna rukun yang tersebut di atas dan syarat-syarat yang berkaitan dengannya.
SYARAT BAGI PENJUAL/PEMBELI
11. Diantara syarat penjual dan pembeli ialah:
a. Hendaklah kedua-dua mereka boleh bertanggungjawab iaitu sempurna akal fikiran , cukup umur dan pintar.
b. Tidak disekat daripada menguruskan muamalat.
c. Tidak dipaksa oleh mana-mana pihak bagi menjalankan akad tersebut.
SYARAT BAGI SIGHAH IJAB/QABUL
12. Tujuan diadakan Ijab/Qabul ialah untuk melahirkan kerelaan/keredhaan kedua belah pihak (penjual/pembeli) menjalani akad berkenaan serta menerima implikasinya. Oleh yang demikian setiap perkataan/tulisan/isyarat (bagi orang bisu) hendaklah memberi kefahaman bahawa jual beli berkenaan telah dilaksanakan dengan berlakunya akad tersebut seperti dengan menggunakan perkataan: “Saya jual/saya beli” dan perkataan yang seumpamanya yang mempunyai erti jual beli.
a. Adalah tidak sempurna Ijab/Qabul dengan perkataan tulisan/isyarat yang boleh difaham sebagai berjanji hendak menjual/membeli seperti : Saya akan menjual/akan membeli” atau menyuruh seperti “juallah/belilah”.
b. Sah Ijab/qabul tanpa sebutan dan memadai dengan mengambil barang serta membayar wang mengikut harga yang ditetapkan. Jualan seperti ini terkenal dengan nama Bai’ut Ta’ati dan berlaku pada bahan-bahan yang rendah harganya seperti bahan keperluan harian yang telah diletak tanda harga.
c. Hendaklah diselaraskan kandungan antara Ijab dan qabul dari segi sebutan barang, harga dan sebagainya.
d. Boleh dijual beli beberapa jenis barang dengan hanya satu akad sahaja sama ada diterangkan harga bagi setiap jenis atau tidak. Dalam keadaan seperti ini si pembeli hendaklah menerima semua barang tersebut.
e. Majlis Akad iaitu pertemuan antara kedua belah pihak (penjual/pembeli) untuk menjalankan jual/beli diatas barangan tertentu. Pertemuan ini tidak semestinya secara menghadirkan diri di suatu tempat tertentu, akan tetapi boleh berlakunya akad melalui surat. Majlis akad bermula sebaik sahaja surat tersebut diterima oleh pihak kedua dan selesai dibacanya, begitu juga dengan teleks. Majlis akad melalui telefon pula bermula dengan penerimaan panggilan daripada pihak kedua.
13. Berakhirnya Majlis Akad setelah kedua belah pihak (penjual/pembeli) berpisah, beredarnya pihak kedua dari tempat bermulanya Majlis Akad atau memutuskan hubungan telefon oleh salah satu pihak.
TUJUAN MAJLIS AKAD PERLU DIHADKAN
14. Majlis akad perlu dihadkan atas tujuan:
a. Memberi masa kepada pihak kedua untuk berfikir samada hendak menerima atau tidak jual/beli berkenaan setelah diijab (ditawar) oleh pihak pertama. Sekiranya diterima bolehlah ia mengqabulkan (menerima) Ijab tersebut selagi mereka berada di Majlis Akad walau berapa lama sekalipun jarak masa antara Ijab dan Qabul itu.
b. Memberi peluang kepada pihak pertama untuk menarik balik ijabnya sebelum diqabulkan oleh pihak kedua.
c. Kedua belah pihak boleh membubarkan akad jual beli mereka selagi masih berada dalam Majlis Akad.
15. Tiga jenis pemilihan yang tersebut di atas dinamakan Khiyarul Majlis.
16. Semua akad jual beli mula berkuatkuasa sebaik sahaja kedua belah pihak bersetuju tidak ada pilihan yang lain dari akad tersebut atau dengan berpisahnya mereka dari Majlis Akad setelah selesai Ijab/Qabul.
17. Sebarang syarat yang dibuat semasa ijab /qabul yang mendatangkan manfaat dan tidak bercanggah dengan dasar jual beli adalah diterima . Contohnya:
a. Syarat yang ada kaitan dengan akad itu sendiri: umpamanya syarat tidak menyerah barang sehingga pembeli menjelaskan semua harga barang tersebut.
b. Syarat yang memperkuatkan lagi implikasi akad: umpamanya bagi menjamin hak penjual mengenai pembayaran harga dalam jualan tangguh, maka penjamin hendaklah terdiri daripada individu tertentu.
c. Syarat-syarat yang biasa dikenakan mengikut Uruf masyarakat/perniagaan di zaman tertentu, umpamanya mensyaratkan bayaran melalui Letter of Credit.
SYARAT BAGI BARANG YANG DIJUAL
18. Syarat-syaratnya ialah:
a. Barang yang hendak dijual mestilah ada pada masa akad dijalankan sekalipun tidak dihadirkan barang itu di Majlis Akad (kecuali Jual Salam).
b. Penjual berkuasa menyerahkan barang itu kepada pembeli.
c. Barang itu terdiri daripada harta yang bernilai.
d. Barang itu adalah jelas pada pengetahuan pihak pembeli sama ada dilihatnya semasa akad atau sebelumnya atau dengan dijelaskan sifatnya semasa akad sekiranya barang itu tidak mungkin berubah sifat.
SYARAT BAGI HARGA
19. Syarat bagi harga pula ialah:
a. Harga barang yang dijual hendaklah disebut semasa akad.
b. Hendaklah dijelaskan jenis matawang kecuali jika wang tersebut dilihat semasa akad, maka memadai dengan ditunjuk sahaja.
c. Boleh dijual barang dengan bayaran tangguh (al-Bai’Bi Thaman Ajil) dengan syarat.
d. Dijelaskan tempoh dan cara-cara pembayarannya.
e. Permulaan tempoh dikira dari tarikh penyerahan barang yang dijual.
f. Tidak boleh dihadkan tempoh kepada musim yang tidak tetap.
20. Kuasa penjual ke atas harga bermula sebaik sahaja selesai akad sekalipun barang belum diserahkan kepadanya. Oleh yang demikian dia boleh memindahkan pembayaran harga itu kepada orang lain secara Hiwalah.
PERKARA-PERKARA BERKAITAN SERAH TERIMA
21. Serah menyerah tidak menjadi syarat jual beli, akan tetapi tidak selesai sesuatu upacara jual beli tanpa menyerahkan barang yang dijual kepada pembeli. Serahan dikira selesai apabila penjual mengizinkan kepada pembeli untuk mengambil barang yang dijual tanpa sebarang gangguan. Dengan yang demikian pembeli dianggap mengambil barang tersebut. Penyerahan adalah dengan pelbagai cara, antaranya:
a. Penyerahan tanah memadai dengan keizinan penjual kepada pembeli mengendalikannya.
b. Penyerahan rumah atau kawasan yang berpagar adalah dengan pembeli memasuki/berada dalam kawasan tersebut. Penyerahan rumah adalah dengan menyerahkan kunci kepada pembeli.
c. Penyerahan binatang ternakan yang jinak adalah dengan memegang kepala atau telingannya atau talinya dan diserahkan kepada pembeli. Bagi binatang yang liar memadai penjual mengizinkan pembeli mengambilnya dengan apa jua cara.
d. Penyerahan bahan-bahan sukatan adalah dengan disukat atau ditimbang dengan arahan pembeli dan dimasukkan ke dalam bekasnya untuk dikendalikan oleh pembeli.
e. Penyerahan juga adalah dengan diberi barang itu oleh penjual kepada pembeli, atau diambil oleh pembeli tanpa sebarang halangan daripada penjual.
22. Penjual berhak menahan barang yang dijual daripada diserahkan kepada pembeli dalam keadaan jualan tunai sehingga pembeli menyerahkan harga barang tersebut sepenuhnya. Tetapi dalam jualan tangguh, penjual tidak berhak berbuat demikian. Begitu juga sekiranya jualan tunai diubah menjadi jualan tangguh.
23. Tempat penyerahan barang yang dijual ialah di mana berlakunya upacara akad, kecuali jika dipersetujui bahawa penyerahan dilakukan di tempat lain, maka barang itu hendaklah diserahkan ditempat tersebut.
24. Semua perbelanjaan berhubung dengan pembayaran harga adalah ditanggung oleh pembeli, dan semua perbelanjaan yang berhubung dengan penyerahan barang ditanggung oleh penjual; kecuali ada persetujuan selain daripada yang tersebut.
25. Sekiranya berlaku kemusnahan ke atas barang yang dijual sebelum diambil oleh pembeli, maka ditanggung oleh penjual. Sekiranya berlaku selepas diambil maka ianya menjadi tanggungan pembeli.
26. Sekiranya berlaku kemusnahan ke atas barang yang hendak dijual di tangan pembeli semasa tawar menawar sebelum akad, pada hal harganya telah ditetapkan oleh penjual, maka hendaklah diganti oleh pembeli. Sekiranya harga belum ditetapkan oleh penjual, maka pembeli tidak dikenakan gantirugi kecuali jika kemusnahan tersebut disengajakan oleh pembeli.
AL-KHIYAR ( PEMILIHAN)
27. Takrif
Maksud Khiyar atau pemilihan dalam jual beli ialah kedua belah pihak (penjual dan pembeli) diberi hak memilih sama ada hendak melangsungkan jual beli mereka atau membatalkannya mengikut syarat atau sebab-sebab tertentu.
Tujuan syarak memberikan hak tersebut supaya kedua belah pihak tidak mengalami kerugian atau penyesalan di belakang hari kelak kerana timbul sebab-sebab tertentu daripada pembelian adan penjualan barang berkenaan samada dari segi harga atau barang itu sendiri.
JENIS-JENIS KHIYAR
28. Khiyar terbahagi kepada tujuh jenis iaitu:
a. Khiyar Majlis
b. Khiyar Syart
c. Khiyarul Wasf
b. Khiyarun Naqd
c. Khiyarut Ta’yeen
d. Khiyarur Rukyah
e. Khiayrul ‘Aib
HUKUM KHIYAR
29. Khiyar Majlis.
Iaitu pemilihan yang dilakukan semasa berada dalam Majlis Akad jual beli. Kedua-dua belah pihak berhak memilih sama ada hendak meneruskan jual beli yang telah diakadkan di majlis tersebut atau memfasakhkannya selagi mereka tidak berpisah.
Sekiranya salah satu pihak menggugurkan hak pemilihannya, maka pihak yang satu lagi masih berhak membuat pilihan sama ada hendak meneruskan jual beli tersebut atau memansuhkannya selagi majlis Akad masih wujud.
Hukum ini berdasarkan kepada Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“ Kedua belah pihak (penjual dan pembeli) diberikan pilihan selagi mereka tidak berpisah”
30. Khiyarus Syart
Iaitu semasa melakukan akad jual beli kedua belah pihak bersetuju disyaratkan bahawa mereka atau salah satu pihak berhak memilih sama ada jual beli itu hendak diteruskan atau difasakhkan. Tempoh masa pemilihan tidak lebih dari tiga hari. Oleh yang demikian pihak yang diberi hak itu boleh membuat keputusan sama ada hendak meneruskan jual beliitu atau memansuhkannya. Pihak yang menggugurkan haknya untuk memilih dianggap bersetuju untuk meneruskan jual beli tersebut dan pihak yang satu lagi masih mempunyai hak untuk membuat pilihan.
Pemilihan memfasakhkan jual beli atau meneruskannya semasa dalam tempoh khiyar boleh dilakukan dengan perkataan dan perbuatan/tindakan.
a. Perkataan : iaitu setiap perkataan yang bermaksud meneruskan jual beli atau memfasakhkannya dan lain-lain perkataan yang mempunyai makna tersebut seperti “ saya teruskan jual beli ini atau saya fasakhkan akad jual beli ini” atau kata penjual “ ambillah barang kamu ini (bererti teruskan) atau “ serahkan kembali barang saya itu (bereti fasakh).
b. Perbuatan/tindakan : iaitu suatu perbuatan yang dilakukan oleh penjual atau pembeli yang boleh difahami sebagai fasakh atau meneruskan jual beli berkenaan. Umpamanya, semasa dalam tempoh khiyar si pembeli menggunakan barang tersebut untuk kepentingan dirinya. Ini bererti bahawa pembeli memilih untuk meneruskan jual beli itu. Sebaliknya jika pembeli menyerahkan barang itu kepada penjual dan meminta dikembalikan barangnya dari pembeli. Ini bererti memfasakhkan jual beli. Sekiranya penjual membiarkan pembeli menjual barang tersebut kepada orang lain, ini bererti meneruskan jual beli.
Apabila habisnya tempoh khiyar yang disyaratkan tanpa difasakhkan jual beli berkenaan oleh mana-mana pihak maka jual beli tersebut berkuatkuasa dengan sendirinya.
Khiyarus Syart tidak boleh diwarisi. Oleh yang demikian apabila pembeli atau penjual mati, maka hak khiyar kepada si mati dengan sendirinya gugur. Oleh itu waris si mati hanya menerima sebarang keputusan daripada pihak yang satu lagi sama ada diteruskan jual beli itu atau difasakhkan.
Barang yang dijual masih milik penjual semasa dalam tempoh khiyar sehingga penjual memilih jual beli itu diteruskan.
31. Khiyarul Wasf
Ia memilih menfasakhkan atau meneruskan jual beli apabila didapati barang barang yang dibeli itu tidak tepat seperti sifat-sifat yang dikehendakinya. Dalam hal ini si pembeli boleh memilih sama ada fasakh (membatalkan) akad jual beli itu atau meneruskannya dengan harga yang ditetapkan semasa akad.
Khiyarul Wasf boleh diwarisi. Oleh itu sekiranya si pembeli mati dan semasa hayatnya dia belum melihat barang yang dibeli kemudian barang itu diserahkan kepada warisnya dan didapati tidak tepat seperti sifat-sifat yang dikehendaki oleh si mati. Maka warisnya berhak menfasakhkan akad jual beli tersebut.
Hak khiyarul Wasf terbatal dengan sendirinya apabila si pembeli bertandak ke atas barang tersebut seperti ianya hak milik sendiri.
32. Khiyarul Naqd
Iaitu menjual sesuatu barang berdasarkan kepada si pembeli bahawa dia akan membayar harga barang tersebut pada masa yang dipersetujui semasa akad. Tetapi si pembeli gagal membayar pada masa yang ditetapkan dan penjual berhak memfasakhkan jual beli tersebut. Begitu juga sekiranya si pembeli mati ketika dalam tempoh khiyarul Naqd, maka akad tersebut akan terbatal dengan sendirinya.
33. Khiyarul Ta’yeen
Iaitu menjual sesuatu barang di antara beberapa barang yang mana telah ditetapkan harganya bagi setiap satu dan diberi hak kepada pembeli untuk memilih barang yang dikehendakinya dalam satu tempoh yang ditetapkan.
Pembeli yang terlibat dengan khiyarul Ta’yeen, hendaklah menentukan yang mana satu barang yang menjadi pilihannya sebelum habisnya tempoh pemilihan yang ditetapkan.
Khiyarul Ta’yeen boleh diwarisi. Oleh yang demikian sekiranya pembeli mati dalam tempoh pemilihan, maka warisnya mengambil alih kuasa pemilihan tersebut.
34. Khiyarur Rukyah
Iaitu pemilihan yang diberi kepada si pembeli yang membeli barang yang belum dilihatnya sama ada hendak meneruskan jual beli berkenaan atau menfasakhkannya sebelum ia melihat barang tersebut.
Khiyarur Rukhyah tidak boleh diwarisi. Oleh yang demikian sekiranya si pembeli itu mati, maka jual beli tersebut tidak boleh difasakhkan lagi sekiranya warisnya masih belum melihat barang tersebut.
Penjual tidak diberi hak Khiyarur Rukyah sekalipun ia belum melihat barang yang dijualnya itu. Umpamanya si penjual mewarisi barang daripada keluarganya lalu dijual barang tersebut kepada orang lain maka sah jual beli tersebut walaupun ia belum melihatnya.
Yang dimaksudkan dengan melihat dalam perbahasan Khiyarur Rukyah ini ialah mengetahui keadaan dan kedudukan barang itu mengikut tujuan asal yang terdapat pada barang tersebut. Umpamanya melihat kain yang atas gulungan tersebut kerana pada ghalibnya (biasanya) lapisan atas satu gulungan kain menjadi contoh kapada lapisan bawah dari segi warna, corak dan tebal atau nipisnya kain tersebut. Begitu juga adalah mencukupi hanya dengan melihat contoh kepada barang yang dijual secara borong. Si pembeli berhak mengembalikan barang tersebut dan memfasakhkan akad jual beli sekiranya si pembeli membeli barang dengan melihat contoh sahaja tetapi apabila menerima barang itu didapati berlainan atau kurang daripada contoh yang telah dilihat.
Jual beli yang dilakukan oleh orang buta adalah sah dan sekiranya ia membeli sesuatu sebelum mengetahui sifat barang tersebut, maka dia berhak memfasakhkan akad jual beli itu atas dasar khiyarur Rukyah.
Orang buta boleh mengetahui sifat barang yang dibeli melalui sentuhan bagi barang yang dapat disentuh, mencium bagi barang yang berbau dan merasa bagi barang yang boleh dirasa. Gugur hak Khiyarur Rukyah apabila si Pembeli melihat sesuatu barang walaupun hanya beberapa ketika sebelum membeli barang tersebut kecuali sekiranya didapati barang itu telah berubah sifat daripada yang dilihatnya dahulu, maka si pembeli boleh memfasakhkan jual beli tersebut.
Sekiranya wakil pembeli melihat barang yang dibeli itu, maka hak khiyarur Rukyah kepada pembeli akan gugur.
Sekiranya yang melihat barang itu ialah orang yang diarah oleh pembeli untuk mengambil barang tersebut daripada penjual, maka hak khiyarur Rukyah kepada pembeli tidak akan gugur.
Hak khiyarur Rukyah akan gugur dengan tindakan pembeli yang menjadikan barang tersebut hak miliknya seperti menjual atau memindahkan dan mengubahsuaikan barang tersebut.
35. Khiyarul Aib
Iaitu pilihan pembeli sama ada meneruskan jual beli atau menfasakhkannya pada ketika didapati bahawa barang yang dibeli itu cacat.
Khiyarul Aib adalah menjadi hak pembeli sekiranya jual beli itu bersifat mutlak iaitu jual beli yang tidak disyaratkan bahawa penjual tidak bertanggungjawab ke atas kecacatan yang terdapat pada barang yang dijual.
Pembeli berhak memfasakhkan akad jual beli berkenaan sekiranya didapati barang yang dibeli itu cacat dan berlaku sebelum barang itu diserahkan kepadanya oleh penjual.
Sekiranya pembeli bersetuju mengekalkan jual beli tersebut dan rela menerima barang itu dalam keadaan cacat, maka dia tidak boleh memotong harga barang yang dibelinya itu daripada kadar yang telah ditetapkam semasa akad sekalipun kecacatan itu menyebabkan harga barang berkenaan berkurangan.
Sekiranya penjual menerangkan kepada si pembeli akan kecacatan tersebut dan si pembeli terus menerimanya maka gugurlah hak khiyarul Aib.
Begitu juga jika si penjual mansyaratkan bahawa beliau tidak bertanggungjawab di atas segala kecacatan yang terdapat pada barang tersebut dan dipersetujui oleh si pembeli, maka hak khiyarul Aib pun gugur.
Gugurnya hak khiyarul Aib apabila si pembeli bersetuju membeli barng tersebut sekalipun ianya cacat.
Hak khiyarul Aib gugur sekiranya pembeli terus bertindak sebagai pemilik setelah dia mendapat tahu bahawa barang yang dibelinya itu cacat.
Jika sekiranya barang yang dibeli itu cacat selepas diterima oleh pembeli, kemudian lahir pula cacat lama semasa di tangan penjual, maka pembeli tidak boleh memfasakhkan jual beli tersebut tetapi berhak menuntut supaya harga barang itu dikurangkan.
Untuk menentukan kadar kemerosotan harga barang tersebut yang disebabkan oleh kecacatan lama, ianya perlu dinilai oleh orang yang pakar dalam bidang penilaian harga barang berkenaan, dan dia tidak mempunyai sebarang kepentingan berhubung dengan jual beli tersebut.
Sekiranya si penjual rela menerima kembali barang itu dengan keadaan cacat yang baru berlaku di tangan pembeli, maka pembeli tidak lagi berhak mengurangkan harga barang tersebut.
Sebarang tambahan yang dibuat oleh pembeli ke atas barang berkenaan menyebabkan barang tersebut tidak boleh diambil balik oleh penjual dalam kes di atas. Oleh itu penilaian perlu dibuat dan harga barang itu diturunkan daripada kadar harga yang ditetapkan semasa akad kerana kecacatan yang lama.
Kesemua barang yang dibeli bersama-sama yang cacat dalam satu akad hendaklah diserahkan kembali kepada penjual pada ketika akad jual beli itu difasakhkan.
Sekiranya didapati bahawa barang yang dibeli itu tidak boleh digunakan langsung, maka batallah jual beli berkenaan.
No comments:
Post a Comment